suria

Sultan Perak Lantik Raja Bergelar Baru

IPOH: Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenankan kenaikan pangkat gelaran dan pelantikan baru Raja-Raja Bergelar dan Ahli Dewan Negara Perak.

Raja Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah dinaikkan pangkat gelaran daripada Raja Kechil Sulung Perak kepada Raja Kechil Besar Perak.

Gelaran yang disandangnya sebelum ini diganti oleh Raja Kechil Tengah Perak Raja Datuk Seri Ashman Shah ibni Sultan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, demikian diumumkan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sultan Perak juga berkenan membuat pelantikan Raja Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah sebagai Raja Kechil Tengah Perak yang baru, katanya.

Semua pelantikan berkenaan berkuatkuasa mulai 16 Mac 2010, kata Ayob.

Beliau berkata dua ahli baru Dewan Negara Perak yang dilantik bagi penggal dua tahun mulai 17 Mac 2010 ialah Datuk Seri Dr Jalaluddin Abd Rahim dan Datuk Seri Ismail Shahudin.

Seramai 10 ahli lain yang dilantik semula ialah Raja Tan Sri Aznam Raja Ahmad, Datuk Yusof Sulaiman, Tan Sri Darshan Singh, Datuk Ismail Shah Bodin, Datuk Abdul Karim Mohd Jamil, Datuk Seri Dr Abdul Shukor Abdullah, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Tan Seri Mohd Zahidi Zainuddin, Datuk Zubairi Tajuddin dan Raja Datuk Seri Mansur Raja Razman. - BERNAMA

Artikel Lain