suria

Pusat Jagaan Kanak-Kanak Di Tempat Kerja Boleh Kurang Stres Dan Kes Penderaan - Rosmah

KUALA LUMPUR: Majikan perlu menimbangkan idea menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi membantu mengurangkan tekanan kepada ibu yang bekerja di situ, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Rosmah Mansor.

Katanya idea seperti itu bukan sahaja melegakan perasaan golongan ibu tetapi membolehkan mereka memberi komitmen sepenuhnya terhadap kerja masing-masing.

Selain itu, kanak-kanak itu sendiri akan berasa lebih selamat dan selesa di tempat kerja ibu mereka dan mungkin mereka memberi respon yang lebih baik terhadap proses pembelajaran di situ, katanya.

Rosmah berkata demikian pada majlis pelancaran Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Sime Darby oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, di Pusat Konvensyen Sime Darby, Jalan Bukit Kiara, sini, hari ini.

Katanya beliau sedih walaupun ada peraturan undang-undang, dasar dan program melindungi kanak-kanak serta kempen kesedaran, masalah penderaan kanak-kanak masih berlaku di negara ini.

"Perasaan saya amat terganggu apabila melihat peningkatan bilangan kes penderaan kanak-kanak di negara ini. Apa yang berlaku dalam masyarakat kita,", tanya beliau.

Beliau juga memuji komitmen badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat dalam membangunkan inisiatif dan kerjasama dalam menangani isu-isu penderaan kanak-kanak.

"Saya ingin cadangkan kepada badan korporat untuk memainkan peranan mengikut kemampuan dengan menyediakan persekitaran tempat kerja yang lebih baik supaya ia dapat mengurangkan elemen stres di kalangan pekerja wanita," katanya.

Katanya sebagai sebahagian daripada Konsep 1Malaysia, ia perlu menjadi salah satu nilai dalam memberi respon secara bersama dalam membantu membendung gejala penderaan kanak-kanak. - BERNAMA

Artikel Lain