suria

Program Skim Rondaan Sukarela Bantu Polis Kurangkan Jenayah - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Program Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah kendalian Rukun Tetangga berperanan membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya SRS dapat membantu polis menyalur maklumat dengan memberi maklumat sosiokomuniti setempat seperti jumlah penduduk, masalah sosial dan perkembangan jenayah yang berlaku dari semasa ke semasa.

"Saya mencadangkan SRS supaya melakukan proses penjenamaan semula agar satu unit khas ditubuhkan khusus untuk memantapkan operasi SRS di mana Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Sukarelawan Simpanan Polis dapat melakukan rondaan secara bersama dengan anggota program SRS pada masa depan," katanya kepada pemberita di sini malam semalam.

Beliau melawat Pusat SRS di kawasan Rukun Tetangga Pangsapuri Fasa 3, Bandar Baru Sentul. Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Hishammuddin berkata sebagai usaha untuk memastikan program SRS aktif semula, pegawai dari Kementerian Dalam Negeri akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional pada masa yang terdekat bagi mencari kaedah ke arah itu.

Kini terdapat 4,557 unit Rukun Tetangga dan 1,860 program SRS di seluruh negara dengan kira-kira 75,000 orang menyertai rondaan secara sukarela di bawah program tersebut, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain