suria

Perkasa Tidak Salah Guna Nama Sultan - Pejabat Sultan Selangor

PETALING JAYA: Pejabat Sultan Selangor hari ini menjelaskan bahawa Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak menggunakan nama Sultan Sharafuddin Idris Shah tanpa perkenan baginda dengan menghantar kad-kad jemputan ke majlis perasmian Mesyuarat Agung pertama pertubuhan itu pada 27 Mac ini.

Sebaliknya Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, sememangnya berdasarkan perancangan asal Sultan Selangor berkenan untuk berangkat merasmikan mesyuarat agung berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, baginda telah dinasihati supaya tidak berangkat ke majlis tersebut kerana dibimbangi kehadiran Tuanku akan disalahtafsirkan dan disalah anggap oleh pihak-pihak tertentu bahawa istana terlibat secara tidak langsung dengan politik.

"Tulisan yang dibuat oleh Terrence Fernandez dalam akhbar The Sun semalam bertajuk Sultan keeps Perkasa guessing on invitation adalah tidak tepat.

"Ini kerana pada 1 Februari lepas Pejabat Sultan Selangor telah menghantar surat kepada Perkasa bahawa Tuanku berkenan menyampaikan titah ucapan mengenangkan pertubuhan itu organisasi yang mempertahankan institusi raja, hak-hak orang Melayu dan bumiputera serta kemuliaan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali mengecam laporan akhbar tabloid terbabit yang disifatkan mempunyai niat jahat apabila cuba memburuk-burukkan pertubuhan itu dengan menggunakan nama Sultan Selangor.

Katanya, laporan itu yang seolah-olah menunjukkan bahawa Sultan Selangor tidak berkenan untuk merasmikan Mesyuarat Agung pertama Perkasa adalah tidak benar.

Mengulas lanjut Mohamad Munir berkata, selepas membuat keputusan berkenaan, baginda ke luar negara dan memikirkan semula jemputan itu secara mendalam.

Kata beliau, baginda mendapati pertubuhan itu diterajui oleh seorang tokoh politik dan Ahli Parlimen Bebas maka baginda berpendapat dikhuatiri keberangkatan itu akan disalah tafsir bahawa istana menyokong dan berpihak kepada ahli politik terbabit seterusnya menjadi isu khususnya dalam situasi sekarang.

"Justeru sekembalinya dari luar negara, baginda mendapatkan pandangan dan nasihat beberapa Ahli Dewan Diraja Selangor dan kebanyakannya sependapat dengan baginda dan dinasihati baginda membatalkan hasrat untuk berangkat ke majlis itu.

"Surat Pejabat Sultan Selangor pada 12 Mac lalu telah dihantar kepada Perkasa menjelaskan perkara berkenaan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Munir memberitahu bahawa baginda berharap supaya Mesyuarat Agung pertama itu dapat berjalan lancar dan Perkasa menjadi pertubuhan bukan kerajaan bumiputera yang berintegriti dan meneruskan agenda yang ditetapkan.

Kata beliau, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan Perkasa supaya lebih bertoleransi dan menghormati kaum-kaum lain serta hidup dalam harmoni selain bekerjasama membangunkan negara yang dikasihi.

Artikel Lain