suria

Pengusaha Hotel Jangan Letak Harga Lebih Rendah Untuk Perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru pengusaha hotel di Malaysia supaya tidak meletakkan harga lebih rendah atau meletak nilai yang kurang daripada sepatutnya bagi perkhidmatan mereka.

Najib berkata tindakan meletakkan harga yang lebih rendah tidak bermakna hotel-hotel akan mendapat lebih banyak perniagaan memandangkan pelancong mewah tidak kisah untuk berbelanja.

"Hotel di Malaysia paling rendah di rantau Asia Tenggara," kata Najib semasa berucap merasmikan Royale Chulan Kuala Lumpur malam ini.

Hotel lima bintang milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan diuruskan oleh Boustead Holdings Bhd melalui Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd, dibina pada kos RM200 juta.

"Kita juga hendak pelancong yang datang ke Malaysia mendapat satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan menyeronokkan," kata Najib.

Dalam hal ini, beliau berkata pemandu teksi di Malaysia perlu sentiasa bersopan santun dan mesra.

"Bidang pelancongan adalah bidang yang sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan. Pada tahun ini, bulan Januari, bilangan pelancong telah meningkat 1.4 peratus dan kita harap bilangan pelancong tahun ini akan mengatasi tahun sudah. Pada tahun sudah, kita berjaya menarik 23.6 juta pelancong," kata Najib.

Sementara itu, Pengerusi LTAT, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata lokasi Royale Chulan di tengah-tengah Kuala Lumpur seiring dengan sasaran LTAT untuk melabur dalam hartanah bernilai di dalam bandar raya.

"Hotel ini melengkapkan hartanah kami yang lain, iaitu Bangunan LTAT dan Chulan Tower yang kedua-duanya terletak dalam lingkungan Royale Chulan," kata Mohd Anwar semasa majlis itu.

Mengenai pelaburan, beliau berkata adalah sentiasa menjadi dasar LTAT untuk mengguna pakai strategi pelaburan yang pelbagai dan berdasarkan itulah pelaburannya dalam sektor hartanah meraih pulangan yang baik.

Mohd Anwar juga memuji Kumpulan Boustead yang menguruskan hotel berkenaan.

"Pengalaman mereka dalam menguruskan rangkaian hotel Royale Bintang memberi manfaat kepada mereka dan kami yakin dengan rekod prestasi baik mereka sehingga kini, Royale Chulan Kuala Lumpur akan berjaya," kata Mohd Anwar.

Pengarah urusan kumpulan Boustead Holdings Bhd, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata Royale Chulan merupakan hotel kebanggaan dalam kumpulan hotel Royale Bintang.

"Sejak pembukaannya pada April tahun lepas, hotel itu mendapat reputasi yang sangat baik dalam masa yang singkat sebagai venue pilihan acara berprestij dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Kami menjadi hos kepada pelbagai acara termasuk Miss Malaysia Universe 2009," kata Lodin pada majlis perasmian itu. - BERNAMA

Artikel Lain