suria

Pengerusi BNBBC Perak Minta Polis Siasat Speaker Menyamar

IPOH: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Perak Datuk Nadzri Ismail hari ini membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh V. Sivakumar kerana menyamar sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata tindakan Sivakumar menggunakan kepala surat rasmi Yang Dipertua Dewan Negeri Perak bagi menghantar notis persidangan DUN pada 30 Mac ini adalah satu bentuk jenayah penyamaran.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh di sini, Nadzri yang juga Adun Manjoi berkata Sivakumar telah dilucutkan jawatan sebagai Speaker pada 7 Mei 2009 melalui ketetapan DUN dan keputusan itu juga telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai satu prosiding Dewan.

Katanya, tindakan Sivakumar "menyamar" sebagai Speakar juga berupa satu tindakan menghina mahkamah.

"Kami menggesa pihak berkuasa memulakan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap Adun Tronoh...walaupun laporan polis telah dibuat sebelum ini, Adun Tronoh masih lagi bebas bertindak sesuka hati melampaui batasan undang-undang," katanya.

Nadzri berkata beliau juga akan membuat aduan kepada Speaker Datuk R. Ganesan selaku Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Adun Tronoh kerana tindakan dan salah laku beliau.

Beliau berkata notis bertarikh 8 Mac yang dikeluarkan Sivakumar telah diterima beliau pada 10 Mac lalu melalui pos.

Katanya tindakan Sivakumar mengeluarkan notis berkenaan hanya taktik pembangkang untuk mewajarkan kehadiran mereka bagi mengaburi mata rakyat bahawa mereka hadir pada sidang DUN disebabkan notis tersebut.

Ganesan sebelum ini telah mengumumkan sidang DUN akan diadakan pada 30 Mac ini dan notis mengenainya telah dihantar kepada semua Adun pada 1 Mac. - BERNAMA

Artikel Lain