suria

Lelaki Warga Republik Czech Tipu Cek RM480 Juta

KLANG: Seorang lelaki warganegara Republik Czech dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana tuduhan cuba memperdayakan seorang peniaga minyak untuk menjual cek bernilai RM480 juta dengan harga RM336 juta pada bulan lepas.

Antonin Posposil, 68, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa republik itu.

Pertuduhan menyebut, Antonin yang merupakan presiden sebuah syarikat di negaranya, didakwa cuba menipu V.Mahendren, 31, supaya mempercayai satu cek bernilai RM480 juta dijual dengan harga RM336 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 19, Jalan Mata Kucing, Telok Gadong dekat sini, pada pukul 11.30 petang pada 22 Februari lepas dan didakwa mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Anita Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Antonin menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 4 Mei depan untuk sebutan melantik peguam dan penyerahan dokumen kepada pihak pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal. - BERNAMA

Artikel Lain