suria

Kes Warga Sudan Didakwa Bunuh Anak Teman Wanita Disebut Semula 28 April

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes seorang penganggur warga negara Sudan yang didakwa membunuh anak perempuan teman wanitanya di sebuah kondominium di Cheras pada Oktober tahun lepas.

Timbalan Pendaftar Sharina Ali Pitchay menetapkan tarikh itu bagi tujuan penyerahan dokumen ketika kes itu disebut di hadapannya hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin hadir bagi pihak pendakwaan manakala tertuduh, Mohannad Taha Ismail, 24, diwakili peguam J.Kuldeep Kumar dan Tania Scivetti.

Pada 23 Oktober tahun lepas, Mohannad Taha dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang kerana dituduh dengan sengaja menyebabkan kematian Aaliyah Ayman Hussin Abdullah di kediaman bernombor 9/D3/9 Palazzo Tower, Kondominium Venice Hill, Batu 9, Cheras, Hulu Langat, antara 7.30 malam dan 8.30 malam 12 Oktober tahun lepas.

Tiada pengakuan direkodkan. Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain