suria

Ibu Yakin Siti Nor Zubaidah Belum Sempat Terpengaruh Dengan Sudin Ajaib

TANAH MERAH: Siti Nor Zubaidah Hussein, mangsa yang dikahwinkan Shamsuddin Derahman atau lebih dikenali sebagai "Sudin Ajaib" yang didakwa mengahwinkan budak bawah umur, belum terpengaruh atau termakan hasutan lelaki terbabit.

Ibunya, Siti Sarnan Mat Ali, 42, ketika menegaskan keyakinan itu berkata ini berdasarkan anaknya itu (Siti Zubaidah) selalu memarahi Shamsuddin apabila namanya disebut dan isu perkahwinannya diperkatakan di hadapannya.

"Dia (Siti Zubaidah) selalu marah-marah bila sebut nama Sudin, ayahnya, Husin Salleh atau sebaik saja bila orang bercakap mengenai isu perkahwinannya dengan lelaki itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Emas, dekat sini, hari ini.

Menurut Siti Sarnan, sebab itu beliau tidak membenarkan wartawan atau wakil media menemui anaknya ketika ini kerana keadaannya seolah-olah dalam trauma.

Beliau berkata, anaknya itu diletakkan di rumah bapa saudaranya, sebagai penjaga setelah dinasihatkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurutnya, beliau juga sedang menunggu bantuan yang akan dihulurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu keluarganya setelah isu perkahwinan anaknya di bawah umur itu mendapat perhatian pihak berkenaan.

"Saya tidak akan mengambil tahu soal bantuan itu kerana ia hanya untuk membantu keluarga yang menjaga Siti, bukannya untuk saya," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada menteri berkenaan yang prihatin terhadap nasib keluarganya.

Siti Sarnan berkata, ketika ini beliau agak sibuk melayan pertanyaan-pertanyaan orang ramai, termasuk keluarga dan wakil media mengenai isu itu sehingga berasa membebankannya.

"Saya serahkan kes itu kepada pihak berkenaan menyelesaikannya kerana kes itu telah dibawa ke Mahkamah Syariah," katanya.

Katanya, hari ini beliau terpaksa ke Balai Polis Kuala Krai bersama abangnya untuk mengambil kereta suaminya yang ditemui ketika Shamsuddin melarikan Siti Zubaidah sebelum ditemui di Masjid Al-Amin, Taman Saudera, Batu Cave, Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, beliau kini sedang menunggu mahkamah syariah Kota Baharu untuk membatalkan perkahwinan anaknya dengan lelaki itu selepas beliau mendapat perintah supaya pasangan terbabit dimufarakah (tinggal berasingan) sebelum perkahwinan mereka disahkan oleh mahkamah terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain