suria

Edar Kanabis: Bekas Pekerja Kilang Terselamat Daripada Hukuman Mati

SHAH ALAM: Seorang bekas pekerja kilang hanya mampu menadah tangan tanda kesyukuran apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar kanabis seberat 5.2 kg yang ditemui di dalam kereta yang dinaikinya, tujuh tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh, Jantan Hassan, 41, berjaya membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya Mohd Zaki berkata tertuduh dalam pembelaannya berkata beliau meminjam kereta kepunyaan penyelia kilangnya yang bernama Kang Chu Kiong bagi menghantar ibunya yang sakit berubat di Puchong.

Beliau berkata tertuduh seterusnya menaiki kereta terbabit bersama ibu, isteri yang sedang mengandung tiga bulan dan seorang anaknya yang masih kecil.

Mohd Zaki berkata tertuduh diserbu oleh pihak polis ketika berhenti di sebuah apartmen di Dengkil, Sepang, untuk bertanyakan mengenai tukang urut yang mengurut ibunya dan pemeriksaan ke atas kereta itu menemui enam ketulan ganja di dalam sebuah beg yang diletakkan di tempat letak kaki penumpang belakang.

"Sekalipun saya sukar mempercayai bahawa tertuduh tidak ada pemilikan ke atas kanabis itu seperti yang diputuskan di peringkat pendakwaan, tetapi saya tidak sukar untuk putuskan bahawa tidak terdapat cap jari tertuduh atas ketulan kanabis dan beg itu tetapi ada dua cap jari milik orang lain.

"Empat daripada enam ketulan kanabis itu dibungkus dengan suratkhabar Cina dan pemilik kereta yang pinjamkan kereta terbabit (Kang) memang sudah ditangkap polis tetapi kemudian tidak dapat dikesan dan hanya rakaman percakapan beramarannya sahaja dikemukakan semasa perbicaraan.

"Pembelaan tertuduh berjaya membangkitkan keraguan munasabah, jadi saya dapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan dapati tertuduh tidak bersalah. Justeru tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan," katanya.

Sejurus selepas Mohd Zaki membacakan keputusannya, Jantan yang berdiri di kandang tertuduh dilihat menadah tangan tanda kesyukuran sambil tersenyum sementara isteri, abangnya yang berkerusi roda, kakak ipar dan tiga anaknya yang berada di galeri awam dilihat menangis kegembiraan.

Jantan yang berasal dari Sg Abung, Muar, Johor, dibicarakan atas tuduhan mengedar kanabis seberat 5,207 gram di kawasan letak kereta hadapan Blok B, Apartmen Anggerik, Putra Perdana, Dengkil, kira-kira pukul 3.30 petang pada 23 April 2003.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin memanggil seramai lapan saksi memberi keterangan sementara pembelaan yang diwakili peguam Suzanawati Ismail mengemukakan seorang saksi. - BERNAMA

Artikel Lain