suria

Tiga Maut, Dua Cedera Pacuan Empat Roda Rempuh Treler

GUA MUSANG: Tiga pekerja kontrak menara Maxis terbunuh manakala dua lagi cedera apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar belakang treler penuh muatan kayu gergaji di Kilometer 65 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pukul 7.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Noor Azwan Mohd Yahya, 22, Mohamad Faizal Mohd Hairullah, 27 dan Md Shaipul Bahri Yahya, 28, masing-masing berasal dari Sungai Ayer Tawar, Selangor.

"Dua mangsa yang cedera adalah pemandu kenderaan itu, Zulkifli Mohd Anuar, 25 dan Ubaidillah Othman, 27, dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Selangor menghala ke Kota Baharu untuk menjalankan kerja berkaitan dengan menara Maxis.

Menurutnya, pemandu kenderaan paduan empat roda itu tidak sempat mengelak sebuah treler muatan kayu gergaji yang rosak dan ditinggalkan di tepi jalan di kawasan terbabit.

"Pemandu kenderaan dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang treler itu.

"Rempuhan yang kuat itu menyebabkan kenderaan dinaiki mangsa berpusing sebelum terhumban ke dalam longkang di sebelah kiri menyebabkan semua mangsa tersepit dalam kenderaan terbabit," katanya.

Saiful Bahri berkata, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang bersama dua jentera dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit setengah jam kemudian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka untuk dikebumikan. - BERNAMA

Artikel Lain