suria

Sepasang Suami Isteri Ditahan Menyimpan VCD Dan DVD Cetak Rompak

KUALA LUMPUR: Polis menahan satu pasangan suami isteri di sebuah unit kediaman di tingkat dua pangsapuri Kepong Indah di Taman Kepong Indah di sini, dan merampas 4,000 keping video cakera padat digital cetak rompak pelbagai tajuk termasuk lucah, dalam satu serbuan pagi ini.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang diketuai oleh ASP Ahmad Tarmizi Awang pada kira-kira pukul 7 pagi.

Ahmad Tarmizi berkata pasangan yang berumur lingkungan 30-an itu ditahan ketika baru keluar dari kediaman mereka, dipercayai untuk menghantar cakera padat kepada pelanggan.

Beliau berkata suspek lelaki itu pernah ditahan kira-kira dua tahun lalu atas kesalahan yang sama, manakala isterinya merupakan seorang warganegara China.

Katanya polis turut menemui beberapa dokumen penghantaran barangan itu ke negara China, dan tidak menolak kemungkinan sindiket itu mendapat bekalan dari luar negara.

Menurutnya semua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM18,000 dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002. - BERNAMA

Artikel Lain