suria

Polis Tahan Empat Lelaki Berhubung Kes Tembak Mati Di Restoran

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat orang lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam satu kes tembak yang mengakibatkan seorang maut dan tiga lagi rakannya cedera parah di sebuah restoran di Jalan Ipoh dekat sini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata keempat-empat lelaki yang berusia antara 22 dan 44 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar bandar raya.

"Mereka memberikan kerjasama kepada polis ketika ditahan. Ada di kalangan suspek ini merupakan pemilik pub, ahli perniagaan dan ada juga yang mempunyai rekod jenayah," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata polis masih lagi mencari beberapa individu yang dipercayai dapat membantu polis dalam menyelesaikan siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi Jumaat lepas, seorang lelaki melepaskan beberapa das tembakan kearah empat lelaki yang dalam lingkungan umur 30-an yang sedang makan di sebuah restoran, mengakibatkan seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera.

Sementara itu dalam kes berasingan, Ku berkata polis menahan tiga lelaki yang berumur antara 22 dan 30 tahun bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes kehilangan beg udara kereta tempatan yang semakin kerap dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu ditahan di sekitar Sentul secara berasingan pada 11 Mac lepas, dan ada antara mereka yang diberkas semasa sedang mencuri alat berkenaan.

"Suspek menggunakan kepakaran sebagai mekanik untuk membuka alat itu dan menjualkannya kepada pembekal dengan harga RM500 untuk satu unit, manakala pembekal pula akan menjual kepada pembeli dengan harga RM1,000, kerana harganya di pasaran adalah RM3,000," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain