suria

Lelaki Iran Batal Cubaan Bunuh Diri Selepas Empat Jam Dipujuk

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara Iran akhirnya membatalkan niatnya membunuh diri di tempat tinggalnya di tingkat 25 sebuah pangsapuri dekat The Mall di sini semalam, selepas dipujuk selama empat jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata drama yang berlangsung selama empat jam itu bermula kira-kira pukul 8 pagi tadi setelah lelaki berumur 25 itu yang juga seorang pelajar mendapat tahu kematian ayahnya di negara asalnya.

Ekoran tertekan dengan berita itu, lelaki berkenaan duduk di luar balkoni pangsapurinya dengan memakai seluar pendek dan baju-T sambil merenung ke bawah dan ingin terjun dari bangunan berkenaan, katanya.

"Polis dan bomba memujuk mangsa namun kesukaran berkomunikasi melambatkan usaha itu," katanya kepada pemberita di sini.

Polis dan bomba mendapatkan bantuan rakannya yang tinggal bersama-samanya itu dan juga seorang wanita warga China yang tinggal di pangsapuri yang sama bagi memujuknya masuk semula ke dalam rumah terbabit.

Ku berkata wakil kedutaan juga berada di tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain