suria

Kewangan Islam Perlu Telus Untuk Pastikannya Boleh Diramal, Titah Raja Nazrin

KUALA LUMPUR: Kewangan Islam perlu telus bagi memastikan ia dapat diramal dan memberi keyakinan dalam prosesnya, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam.

Dalam ucaptamanya pada forum "Sumbangan Kewangan Islam Selepas Krisis Kewangan Global" di sini, Raja Nazrin bertitah, perlu terdapat inovasi peringkat tinggi dalam kewangan Islam.

"Walaupun mungkin terdapat beberapa elemen kompleks yang tidak boleh dielak semasa mewujudkan produk pengurusan, adalah penting terdapat hubungan yang jelas dan langsung antara produk dan aset asas.

"Kita perlu memastikan kita merangkumi semua. Penglibatan pemegang saham terutama pengguna dan institusi kewangan merupakan perkara utama untuk meneroka potensi dalam kewangan Islam."

Forum sehari itu, anjuran Suruhanjaya Sekuriti dan Pusat Oxford bagi Kajian Islam, menyediakan platform antarabangsa untuk debat, dialog dan kajian mengenai isu kontemporari dan cabaran yang dihadapi dalam membawa kewangan Islam ke dalam arus perdana.

Baginda bertitah dengan memberi syarahan sahaja kepada dunia mengenai kelebihan kewangan Islam tidak mencukupi untuk menjadikannya kompetitif dan menarik tetapi perlu ada pendekatan yang lebih strategik dan lengkap.

"Kewangan Islam masih menguasai kurang satu peratus daripada instrumen kewangan global.

"Umat Islam terdiri daripada 20 peratus jumlah penduduk dunia, tetapi dalam negara yang majoritinya Islam aset bank-bank konvensional jauh berbeza daripada Islam.

"Ia memerlukan inisiatif yang pintar dan berhati-hati sebelum kewangan Islam boleh memberi sumbangan sedemikian," titah Raja Nazrin.

Baginda menyeru cendekiawan kewangan Islam supaya menyumbang dengan lebih banyak dalam menghasilkan idea inovatif.

"Tugas mereka tidak hanya terhad kepada kewangan Islam tetapi merangkumi kewangan global yang lebih luas," titah baginda dan menambah bahawa institusi juga memainkan peranan penting.

Baginda bertitah model mampan untuk industri memerlukan objektif meluas yang boleh dikongsi serta mempunyai amalan yang kukuh.

"Ini termasuk bukan hanya institusi kewangan yang memulakan dan mengedarkan produk kewangan Islam tetapi juga pelbagai infrastruktur sokongan.

"Terdapat entiti yang berusaha ke arah mencapai objektif bersama menjadikan kewangan Islam lebih kukuh," titah Raja Nazrin, dan menambah bahawa setiap entiti itu merupakan komponen penting dalam rangkaian nilai kewangan Islam.

Baginda bertitah rangkaian nilai perlu berfungsi dengan lancar dan berkesan supaya pelabur tidak dibiarkan dalam keraguan mengenai ketulenan dan kebolehpercayaan produk kewangan Islam.

Bagaimanapun, untuk ini berlaku, titah Raja Nazrin, perlu ada perundingan yang lebih lagi di kalangan institusi berkenaan supaya penyimpan dan pelabur tidak dalam kebingungan.- BERNAMA

Artikel Lain