suria

Kaukus Anggota Parlimen Bebas Boleh Jadi Kuasa Ketiga Di Parlimen, Kata Nazri

KUALA LUMPUR: Pembentukan kaukus oleh anggota Parlimen bebas boleh menjadikan mereka sebagai blok kuasa ketiga dalam Parlimen selepas anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata tujuh anggota Parlimen bebas itu boleh menjadi kuasa penentu dalam perkara-perkara yang memerlukan undi dua pertiga.

"Mereka menjadi pasukan yang mengkritik atau menyokong kerajaan, saya sokong pembentukan kaukus ini sebab mereka kini mempunyai anggota yang ramai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim yang juga wakil Bebas semalam yang mengusulkan satu kaukus anggota Parlimen Bebas ditubuhkan bagi menguatkan kedudukan barisan itu di Parlimen.

Sementara itu Mohamed Nazri juga mengumumkan pelantikan R.Sundra, seorang peguam, sebagai Pengarah Pusat Timbangtara Serantau Kuala Lumpur (PTSKL) berkuatkuasa 1 Mac lepas.

Sundra pernah menjadi panel dalam badan-badan timbangtara dunia seperti 'Singapore International Arbitration Centre', 'Australian Centre for International Commercial Arbitration', 'International Chambers of Commerce', dan 'Chinese International Economic Trade and Arbitration Commision'.

"Diharapkan dengan pelantikan beliau akan menyumbang kepada usaha kerajaan untuk memperkukuhkan PTSKL sebagai pusat timbangtara yang berwibawa di rantau Asia.

"Sehubungan dengan itu adalah menjadi harapan supaya sektor swasta, syarikat korporat, komuniti perniagaan dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menggunakan PTSKL sebagai pilihan pertama dalam menyelesaikan pertikaian perniagaan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain