suria

Bekas Editor Bernama Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Bekas editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Richard Thean, meninggal dunia di rumahnya di Jalan Klang Lama di sini akibat masalah jantung, pagi ini.

Mendiang yang meninggal dunia pada kira-kira pukul 6 pagi meninggalkan seorang isteri, Janine Koay, yang merupakan Editor Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris di Bernama, dan dua anak lelaki.

Koay berkata majlis pengebumian akan diadakan pada hari Jumaat, dan orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang boleh datang ke alamat No 85, Jalan Nyaman 4, Taman Bukit Indah, Jalan Klang Lama, di sini.

Thean, 62, merupakan graduan Universiti Malaya yang menyertai Bernama pada 1972 sebagai wartawan dan pernah bertugas sebagai penyunting di Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris, pegawai projek, dan juga pembantu khas di pejabat pengurus besar.

Beliau turut memainkan peranan utama dalam pengurusan Pusat Media yang dikendalikan oleh Bernama pada Sukan Komanwel 1998, dan menjadi penyelaras bersama banyak persidangan yang membabitkan Pertubuhan Agensi Berita Asia Pasifik dan lain-lain agensi antarabangsa.

Thean bersara pada Oktober 2003 dan seterusnya berkhidmat sebagai penasihat editorial kepada Bernama TV sehingga April lepas.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata Thean merupakan seorang mentor kepada ramai wartawan semasa, dan sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada wartawan-wartawan baru.

"Beliau sentiasa bersedia menghulurkan bantuan atau memberikan kata-kata perangsang kepada mereka yang memerlukan. Beliau adalah mentor kepada ramai wartawan muda pada tahun-tahun 1970-an dan 80-an," katanya.

"Selain mempelajari selok belok penulisan, kami juga memperolehi banyak ilmu pengetahuan mengenai jam dan alat menulis, kerana beliau juga adalah seorang pengumpul bahan-bahan lama," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain