suria

Asap Tebal Punca Gangguan Lalu Lintas Di Kangar

KANGAR: Kebakaran di kawasan tanah gambut dan sawah padi di pinggir bandar Kangar menyebabkan gangguan lalu lintas terutama di Jalan Kangar-Arau hari ini.

Kebakaran yang menyebabkan berlaku asap tebal dikatakan berpunca daripada kegiatan pembakaran sawah ketika keadaan berangin.

Ketua Balai Bomba Kangar, Johari Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pukul 4.13 petang dan empat jentera bomba dihantar ke lokasi bagi mengawal kebakaran itu.

"Kebakaran membabitkan kawasan seluas lima hektar itu dapat dikawal dalam tempoh 45 minit dan kebakaran itu merebak menghampiri stesen minyak berhampiran," katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu.

Johari menasihati orang ramai supaya memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat jika ingin melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak kejadian tidak diingini. - BERNAMA

Artikel Lain