suria

SPR: Penjenamaan Semula 'Undian Pos' Kepada 'Undian Awal'

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang membuat kajian terhadap penjenamaan semula istilah "undian pos" bagi memastikan ia lebih relevan sekarang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, istilah 'pengundi awal' sepatutnya menggantikan istilah 'pengundi pos'.

"Walaupun istilah undian pos digunakan, kita tidak menggunakan pejabat pos pun.

"Sebelum itu, kita bercadang mendapatkan persetujuan semua pihak sebelum melaksanakan undian awal. Pengundi awal akan mengundi dua atau tiga hari lebih awal.

"SPR akan bekerjasama rapat dengan polis dan tentera untuk mengadakan undian awal itu di luar kem tentera dan kontinjen polis atas faktor ketelusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis hi-tea SPR bersama media di Hotel Shangri-La, hari ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, SPR membuat keputusan berhubung permintaan kerajaan Pulau Pinang untuk memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk mengadakan pilihan raya ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) selewat-lewatnya minggu depan.

Menurutnya, SPR sedang mengkaji Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengan Akta Kerajaan Tempatan serta mendapatkan maklum balas daripada semua pihak sebelum membuat keputusan tersebut.

"Insya-Allah, minggu depan. Ini adalah interpretasi undang-undang. Kita tak terikat dengan sesiapa, sama ada Perdana Menteri, pihak pembangkang. SPR adalah sebuah badan yang bebas serta profesional.

"Yang memberikan nasihat kepada saya ialah ahli-ahli panel SPR yang bersama membuat tafsiran undang-undang. Kita akan kaji dari segi undang-undang dan putuskan dari situ," katanya.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya akan menghantar surat rasmi tentang keputusan SPR itu terlebih dahulu bagi memastikan surat berkenaan diterima oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum membuat pengumuman rasmi.

Pada 8 Mac lalu, Abdul Aziz dilaporkan berkata, SPR menerima surat permintaan kerajaan Pulau Pinang mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, SPR perlu mendapatkan nasihat daripada pegawai undang-undangnya berhubung permintaan kerajaan Pulau Pinang itu.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, SPR turut mendapat permintaan yang hampir sama daripada kerajaan negeri Selangor semalam.

"Permintaannya lain sedikit iaitu minta SPR tolong kaji peraturan atau undang-undang yang sedia ada dan apakah pandangan SPR tentang Selangor membuat pilihan raya PBT," ujarnya.

Artikel Lain