suria

Pengusaha Kedai Cuci Kereta Mati Ditembak

IPOH: Seorang pengusaha kedai cuci kereta mati selepas ditembak oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di pekan Langkap, Teluk Intan 90 km dari sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa P.Panthiyan, 34 yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Hilir Perak untuk bedah siasat.

Beliau yang dihubungi di pejabatnya hari ini berkata, kejadian berlaku kira kira pukul 3 petang tadi, ketika mangsa berada di kedainya itu dan dihampiri oleh seorang lelaki lalu melepaskan dua das tembakan ke arah kepala mangsa.

Ketika kejadian, tiga anggota keluarga mangsa berada di kedai itu dan bagaimanapun mereka tidak dicederakan.

Katanya, mangsa tersungkur di lantai sebaik ditembak dari jarak dekat.

Dua suspek memakai topeng dan topi keledar dikatakan melarikan diri ke arah Kampar dengan menaiki sebuah motosikal yang dipercayai mengunakan nombor pendaftaran palsu. Operasi memburu mereka sedang dilancarkan.

Siasatan juga mendapati mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Polis masih menjalankan siasatan dan belum mengetahui punca kejadian tetapi tidak menolak ia berpunca akibat balas dendam.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di nombor telefon 05-6212222 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain