suria

Pengadu Tidak Ketahui Sultan Boleh Dibawa Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR: Presiden Gagasan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd Helmi Ismail memberitahu Mahkmah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak akan membuat aduan polis berkenaan penghinaan Sultan Perak Sultan Azlan Shah jika mengetahui seseorang sultan boleh dibawa ke mahkamah.

"Saya ada menonton televisyen mengenai kenyataan hina sultan itu dan saya membuat aduan polis mengenai perkara itu atas dasar maruah anak Melayu seperti dicabar.

"Namun hari ini saya mengetahui bahawa seseorang sultan boleh dibawa ke mahkamah mengikut Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinyatakan, saya tidak akan membuat aduan itu dan saya bersetuju," katanya.

Mohd Helmi, 67, merupakan saksi pendakwaan ke-16, memberi keterangan dalam kes perbicaraan Karpal Singh, 69, yang didakwa membuat kenyataan hasutan terhadap Sultan Perak pada sidang akhbar di pejabatnya di Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari pada 6 Februari tahun lepas.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin mengapa beliau membuat laporan itu, beliau menjelaskan sebagai anak kelahiran negeri Perak yang sentiasa menjaga kedaulatan tampuk pemerintah itu dan wajar bagi dirinya yang juga mewakili rakyat lain untuk berbuat demikian.

Terdahulu itu, saksi pendakwaan ke-11, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tanjung, Perak, Jefri Salim, turut bersetuju dengan cadangan itu iaitu sultan boleh disaman mengikut undang-undang yang termaktub.

Bagaimanapun Jefri, 33, tetap menganggap Karpal masih melakukan kesalahan menghina sultan yang boleh menjatuhkan maruah dan kewibawaan sultan atas alasan Karpal telah mempersoalkan kuasa sultan di hadapan khalayak ramai.

Suprintenden Abdul Ghafar Mohamed, saksi pendakwaan ke-17, memberitahu dirinya bersama pegawai polis khas telah dikasari dan menolak oleh lebih dari 50 orang awam yang berkumpul di kawasan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak, sebelum majlis angkat sumpah perlantikan Menteri Besar bermula pada 11 Mac 2008.

"Keadaan ini menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke udara bagi mengawal keadaan yang cukup tegang pada hari itu ini juga bagi menjaga kereta milik Raja Di Hilir dan Raja Muda yang tiba di perkarangan Istana Iskandariah.

"Mereka (orang awam), yang berkumpul di situ berkumpul bagi membantah pelaksanaan majlis angkat sumpah itu," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdulah bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain