suria

Ong Ka Ting Bertanding Presiden

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting hari ini mengumumkan bahawa beliau akan bertanding jawatan presiden parti itu menentang penyandangnya Datuk Seri Ong Tee Keat dalam pemilihan 28 Mac ini.

Sambil mengesahkan spekulasi bahawa beliau akan muncul semula, Ka Ting berkata beliau menerima banyak panggilan daripada para anggota, veteran dan perwakilan parti di seluruh negara yang disampaikan kepadanya melalui pelbagai saluran media meminta beliau kembali dan bertanding untuk presiden.

"Kepada semua anggota parti yang prihatin dan sayangkan parti, saya kata saya dapat dengar dengan lantang dan jelas.

"Oleh itu, saya ingin mengumumkan pencalonan saya bagi jawatan presiden MCA bagi pemilihan parti akan datang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menjelaskan keputusannya untuk bertanding jawatan presiden, Ka Ting berkata sebagai bekas presiden parti, ia bukan satu rahsia bahawa kedudukan hal ehwal parti itu telah membuat beliau begitu sedih kerana semasa beliau mengumumkan untuk tidak bertanding presiden pada 28 Jun, 2008, beliau menyangkakan beliau menyerahkan parti itu kepada mereka yang bertanggungjawab dalam keadaan selamat dan bersatu.

"Ia mengecewakan saya, ia bukan sahaja terjadi disebaliknya, tapi juga nilai-nilai baik budaya berpolitik yang sihat, tadbir urus dan kepimpinan yang kolektif, yang diamalkan dan disokong pasukan saya semasa saya menjadi presiden, hanya tinggal sejarah sahaja sebaik sahaja saya bersara," katanya.

Ka Ting, yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata sewaktu beliau mengambil alih kepimpinan parti pada Mei 2003 semasa tempoh yang agak meruncing dengan pergolakan dalaman, satu daripada tugas segera yang dilakukannya ialah meminda perlembagan parti bagi mengehadkan tempoh memegang jawatan presiden kepada hanya tiga tahun.

Katanya pasukan beliau telah merangka sistem pengurusan kewangan yang ketat termasuk menguruskan aset-aset parti dalam rangka kerja belanjawan.

"Yang pentingnya, parti bebas daripada hutang selepas semuanya diselesaikan semasa saya menjadi presiden.

"Sedihnya, dalam tempoh setahun dua, selepas perlembagaan parti menghadapi ujian yang teruk, ia telah mendedahkan pelbagai kelemahan berdasarkan kepada kuasa-kuasa presiden yang berlebihan dan pembatalan perhimpunan agung sebagai badan berkuasa parti kita," katanya.

Oleh itu, Ka Ting berkata terdapat keperluan segera bagi membetulkan dan menangani kelemahan-kelemahan ini.

Dalam kenyataan itu, beliau berkata konflik dalaman antara kumpulan di dalam MCA yang serius pada ketika ini di kalangan para pemimpin parti bukan hanya memalukan parti tetapi juga kepada rakyat Malaysia terutama kepada masyarakat Cina yang menyokong parti itu.

Katanya semasa tempoh konflik itu, masa yang begitu berharga telah disia-siakan sedangkan ia sepatutnya ditumpukan bagi membina semula dan menarik semula sokongan rakyat Malaysia kepada parti selepas prestasi buruk dalam pilihan raya umum lepas.

"Jika konflik dalaman ini berterusan, sudah pasti MCA dalam sekelip mata akan menjadi tidak relevan lagi, membawanya kepada kematiannya secara muktamad," kata Ka Ting.

Dengan bertanding pada pemilihan parti pada 28 Mac ini, Ka Ting juga mencipta satu sejarah politik kerana buat pertama kali bekas presiden parti keluar dari persaraannya untuk bertanding jawatan utama parti. - BERNAMA

Artikel Lain