suria

Kanak-Kanak Enam Tahun Yang Hilang Ditemui Selamat

KUALA LUMPUR: Budak lelaki berumur enam tahun yang dilaporkan hilang Sabtu lepas di taman permainan Perumahan Awam di Pangsapuri Sri Kota, Cheras, dekat sini selamat kembali ke pangkuan keluarganya hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata Muhammad Adam Haikal dipertemukan dengan kedua ibu bapanya oleh jiran mereka yang menjaga kanak-kanak itu selepas menemuinya di sebuah masjid berhampiran pada hari kejadian.

"Pada hari kejadian, mangsa keluar bermain dan ingin pulang ke rumahnya namun sesat. Mangsa kemudian ditemui oleh seorang lelaki dan perempuan yang kemudian cuba membantu, tetapi mangsa lupa jalan ke rumahnya," kata Ku kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pasangan itu kemudian meninggalkan Haikal di sebuah masjid sebelum ditemui seorang lelaki yang juga jiran kepada ibu bapanya.

Haikal kemudian dihantar ke rumahnya, namun ibu bapa kanak-kanak itu tidak ada di rumah menyebabkan jiran tersebut memutuskan untuk membawa Haikal pulang ke rumahnya yang berada di tingkat lain di pangsapuri berkenaan, kata Ku.

Ku berkata lelaki itu juga gagal menghubungi kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut dan hanya menyedari Haikal dilaporkan hilang selepas menonton berita di televisyen.

Jiran itu kemudian berjaya menghubungi ibu bapa Haikal dan mempertemukan mereka, kata Ku.

Beliau berkata berlaku sedikit kekeliruan dalam kes kehilangan kanak-kanak itu memandangkan Haikal tinggal bersama neneknya, Salmiah Osman, yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran ketika ibu bapanya keluar bekerja.

Salmiah, 56, yang ditemui pemberita berkata dia bersyukur cucunya itu telah berjaya ditemui dan berterima kasih kepada mereka yang terlibat mencari Haikal.

Ibu kanak-kanak itu, Normayanti Abdul Manan, 30, membuat laporan polis berkenaan kehilangan Haikal semalam. - BERNAMA

Artikel Lain