suria

JKJR Pasang CCTV Pantau Pengguna Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di jalan raya seluruh negara bagi memantau tingkah laku pengguna jalan raya.

Pengarahnya Datuk Suret Singh berkata pemasangan CCTV itu akan dibuat secara berperingkat bermula dengan 10 lokasi di Perak dan Selangor pada Mei ini.

"Kita akan memasang lebih 1,000 CCTV di seluruh negara dan kita akan mensasarkan pengguna jalan raya yang melanggar lampu merah dan peraturan had laju," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara JKJR dan akhbar berbahasa Tamil Makkal Osai, di sini hari ini.

Suret bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai usaha tersebut.

Menyentuh isu berlainan, Suret berkata JKJR kini menumpukan kepada usaha pembinaan laluan motosikal di semua jalan raya di negara ini yang dijangka dapat mengurangkan 85 peratus daripada kemalangan membabitkan penunggang motosikal.

"Kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan penunggang motosikal yang mengambil kesempatan daripada ketiadaan laluan motosikal untuk menyalahguna hak mereka (sebagai pengguna jalan raya)," katanya.

Selain itu katanya keadaan jalan raya yang berlopak dan berpasir juga salah satu punca kemalangan pada kalangan penunggang motosikal.

"Menurut satu kajian yang dijalankan oleh JKJR, 30 peratus kemalangan jalan raya di negara ini disebabkan oleh masalah kejuruteraan kenderaan, 30 peratus berpunca daripada masalah kejuruteraan jalan raya dan 40 peratus disebabkan oleh pengguna itu sendiri.

"Bila penunggang motosikal melanggar lubang itu bukan saja boleh menyebabkan kemalangan tetapi bila mereka cuba mengelak jalan berlubang itu mereka akan dilanggar oleh kenderaan lain," katanya.

Beliau seterusnya meminta orang ramai agar menghantar gambar jalan berlubang, berlopak dan berpasir ke laman web www.jkjr.gov.my dan www.panducermat.org.my jika berhadapan masalah itu di kawasan masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain