suria

JHEAIK Minta "Sudin Ajaib" Serah Diri Selesai Kes Kahwin Budak Perempuan

KOTA BAHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) meminta Shamsudin Che Derahman atau lebih dikenali sebagai "Sudin Ajaib" agar menyerah diri kepada jabatan itu bagi menyelesaikan beberapa kes termasuk isu perkahwinannya dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Undang-undang Syariah JHEAIK, Mohd Ab Aziz Mohd Noor berkata pihaknya kini belum dapat mengesan Shamsudin, 41, yang menghilangkan diri dan kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di seluruh negara untuk menjejaki lelaki itu.

"Sudin Ajaib perlu hadir untuk hadapi perbicaraan mufarakah itu (berpisah sementara) selain dihadapkan ke mahkamah bagi membuktikan perkahwinannya adalah sah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dalam kejadian baru-baru ini, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan Shamsudin ditemui pada pukul 6.30 petang di Madrasah Al-Ikhwan, Taman Samudera Jaya, Batu Caves, Selangor selepas 23 hari mereka berkahwin.

Sebelum ini Shamsudin sempat menikahkan anaknya sendiri, Nur Hadhirah, 10, dengan seorang lagi rakan jemaahnya yang dikenali sebagai "Azhar" dalam sebuah kereta.

Pada 15 Mac lalu, ibu bapa kepada Siti Nur Zubaidah telah memohon perintah mufarakah iaitu berpisah sementara di Mahkamah Tinggi Syariah di sini terhadap perkahwinan meragukan itu.

Mengulas isu itu lagi Mohd Ab Aziz berkata Shamsudin kini sedang disiasat mengikut Seksyen 6602 berhubung mufarakah, Seksyen 8 (menikah dengan gadis bawah umur), Seksyen 37 (menikahkan dirinya sendiri) dan Seksyen 40 enakmen itu (menikahkan anaknya sendiri dengan lelaki lain) yang setiap satunya memperuntukkan denda RM1,000 atau penjara enam bulan.

Mohd Ab Aziz berkata hanya mahkamah syariah sahaja yang boleh memutuskan sama ada perkahwinan Sudin Ajaib itu sah atau tidak termasuk tindakannya menikahkan anaknya sendiri kepada lelaki lain.

Katanya jabatan itu juga sedang menyiasat kumpulan jemaah agama yang disertai Shamsudin itu sama ada terdiri jemaah tabligh atau sebaliknya. - BERNAMA

Artikel Lain