suria

HM Aerospace Tubuh Jawatankuasa Khas Siasat Punca Pesawat Mendarat Cemas

LANGKAWI: Sekolah Penerbangan HM Aerospace menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan bagi menyiasat punca kejadian pesawat ringan Diamond (DA40), yang melakukan pendaratan cemas di perairan berhampiran Mes Pegawai Polis Pasir Hitam, Ayer Hangat, di sini pagi semalam.

Pengetua sekolah berkenaan, Brig. Jeneral (B) Datuk Ranjit Singh Gill berkata jawatankuasa itu akan menyediakan laporan untuk dihantar kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan HM Aerospace sendiri.

"Penyiasatan hanya di peringkat dalaman yang tidak perlu dihebahkan kepada orang ramai," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, seorang juruterbang dan pelatih yang menaiki pesawat ringan berkenaan untuk sesi latihan terselamat, selepas melakukan pendaratan cemas kira-kira 100 meter dari pantai pangkalan nelayan Pasir Hitam di sini.

Kedua-dua mereka diselamatkan oleh empat nelayan yang berada berhampiran tempat kejadian.

Sementara itu, bangkai pesawat ringan itu dikeluarkan dari perairan Pasir Hitam ke sekolah penerbangan di Padang Matsirat di sini, petang semalam untuk siasatan lanjut.

-BERNAMA

Artikel Lain