suria

Hishammuddin Nafi Ketua Pengarang China Press Diarah Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan Ketua Pengarang China Press diarah meletak jawatan ekoran laporan peletakan jawatan Ketua Polis Negara, kurang dua jam selepas dakwaan itu dibuat pembangkang.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dakwaan pembangkang itu tidak berasas kerana beliau belum menerima surat penjelasan daripada akhbar berkenaan. "Ini tuduhan yang melulu semata-mata untuk ambil kesempatan untuk mensensasikan suatu perkara yang berjalan seperti biasa. Apa yang kita lakukan untuk minta China Press beri penjelasan, tiada beza dengan apa dilakukan kepada The Star dan Al-Islam," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sebelum itu, Penasihat DAP yang juga anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang juga di lobi Parlimen mendakwa Ketua Pengarang China Press diarah meletak jawatannya atau akhbar itu akan digantung tiga hingga enam bulan berhubung isu itu.

Hishammuddin berkata KDN menghantar surat tunjuk sebab kepada akhbar itu bagi menjelaskan mengenai laporannya bahawa Tan Sri Musa Hassan akan bersara sebelum sambutan Hari Polis pada 25 Mac ini, yang didapati tidak tepat.

Laporan akhbar itu yang memetik sumber juga melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hishammuddin telah menerima surat peletakan jawatan, bagaimanapun perkara itu dinafikan Musa dan Hishammuddin.

Hishammuddin berkata dakwaan pembangkang kononnya hukuman telah dikenakan ke atas China Press adalah tidak bertanggungjawab sepertimana tindakan anggota Parlimen pembangkang yang keluar dewan hari ini.

Rata-rata anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas tidak dibenarkan membahaskan usul KDN berkenaan arahan kepada ketua polis untuk memastikan jalan dan laluan ke Parlimen dibuka sepanjang masa bagi memudahkan anggota Parlimen.

Hishammudin berkata usul itu, yang dibentangkan pada awal persidangan hari ini, adalah bagi memastikan keselamatan di Parlimen.

"Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk raih sokongan politik," katanya.

Usul itu kemudiannya diluluskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ronald Kiandee dengan sokongan majoriti melalui undian lisan tanpa memberikan laluan usul itu dibahaskan.

Mengulas mengenai peralihan dalam kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hishammudin berkata perkara itu tiada kena mengena dengan isu peletakan jawatan Ketua Polis Negara seperti dibangkitkan.

Namun beliau berkata perkara pokok melibatkan akhbar China Press adalah berhubung kebenaran laporan akhbar itu sejajar dengan kebebasan yang diberikan kepada media.

"Kalau penjelasan (China Press) munasabah, kita (KDN) boleh terima," kata Hishammuddin.

Ditanya mengenai tindakan anggota Parlimen pembangkang yang keluar dewan seperti tidak menghormati amanat Yang di-Pertuan Agong supaya anggota Parlimen lebih berhemah, Hishammuddin berkata perkara itu terpulang kepada rakyat untuk menilai. Mengenai laporan akhbar tentang kewujudan kedai seks di ibu negara, Hishammuddin berkata perkara itu di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), namun pihak polis akan menyiasat perkara itu. - BERNAMA

Artikel Lain