suria

Faktor Raja Nong Chik-Zulhasnan Dalam Kebangkitan Semula UMNO KL

KUALA LUMPUR: Umno Wilayah Persekutuan bagaikan mendapat suntikan semangat baru apabila Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Datuk Raja Nong Chik dan orang yang beliau gantikan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, muncul pertama kali di pentas yang sama baru-baru ini.

Pemerhati berpendapat kehadiran Raja Nong Chik, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan untuk merasmikan program pemukiman Umno Bahagian Setiawangsa yang diketuai oleh Zulhasnan, memberikan harapan baru ke arah memperkasakan jentera Umno dan BN di WP di bawah kepimpinan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana Raja Nong Chik dan Zulhasnan adalah dua tokoh Umno yang memahami liku-liku perjuangan politik di Kuala Lumpur. Zulhasnan, 55, yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno dan BN WP selama tiga tahun, merupakan wakil tunggal BN yang menang pada pilihan raya umum ke-12 di Kuala Lumpur, di mana 10 kawasan lain dikuasai oleh pakatan pembangkang.

Kerusi-kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan kekal bersama BN. Umno kehilangan kerusi Parlimen Lembah Pantai dan Titiwangsa manakala MCA gagal mempertahankan kerusi Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak. Gerakan pula tersungkur di Batu dan Segambut.

Sejak itu suasana politik di Kuala Lumpur dikatakan tidak menentu lagi. Zulhasnan pula tidak disenaraikan dalam pembentukan kabinet baru setelah Raja Nong Chik, yang merupakan Ketua Umno Lembah Pantai, dilantik ke jawatan tersebut.

Berikutan itu, Muhyiddin dilantik menerajui Umno WP bagi "mengimbangkan" suasana politik Kuala Lumpur dan seterusnya mengembalikan kekuatan BN di WP, khususnya di Kuala Lumpur bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Apabila bercakap pasal perkembangan politik WP, sudah tentu nama-nama seperti Zulhasnan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Suleiman Mohamad dan yang terkini pula nama Raja Nong Chik, menjadi tumpuan umum khususnya ahli Umno.

Masing-masing dikatakan mempunyai pengaruh tersendiri. Zulhasnan merupakan wakil tunggal dari Wilayah Persekutuan yang menang kerusi Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan tahun lalu manakala Raja Nong Chik pula dilantik oleh Perdanan Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno.

Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ketua Umno Putrajaya dilantik semula sebagai Setiausaha Agung Umno.

Dua tahun sudah berlalu sejak pilihan raya umum ke-12 dan iklim politik di WP dikatakan menunjukkan peningkatan yang baik dalam tempoh tersebut.

"Saya mengenali Datuk Seri Zulhasnan Rafique sejak bangku sekolah lagi dan saya sering ke rumahnya di Petaling Jaya ketika itu. Kami dah kenal lama. Dia bagaikan adik saya," kata Raja Nong Chik, 56, ketika berucap merasmikan pemukiman tersebut di Janda Baik.

Beliau memuji kepimpinan Zulhasnan di Setiawangsa yang sentiasa mengatur pelbagai strategi untuk menghadapi cabaran politik serta menangani permasalahan rakyat. Raja Nong Chik begitu bersemangat ketika berucap dan ucapannya tanpa teks rata-ratanya berkisar mengenai kepimpinan Zulhasnan dan masa depan Umno dan B Ndi Kuala Lumpur.

Beliau juga kelihatan mesra sepanjang majlis tersebut bersama Zulhasnan dan ahli-ahli Umno Setiawangsa yang lain.

Pemerhati politik pula berpandangan sifat kesederhanaan dan keterbukaan kedua-dua pemimpin tersebut jelas memberikan isyarat kebangkitan semula Umno di WP sepertimana yang diharapkan oleh presiden parti.

Malah gandingan Muhyiddin, selaku Pengerusi, Raja Nong Nong Chik sebagai timbalannya dan Zulhasnan sebagai satu-satu Anggota Parlimen BN di Kuala Lumpur, dapat menstranformasi semula Umno dan BN di WP selepas ini, menurut pemerhati politik. Program pemukiman itu, yang dianjurkan oleh Umno Setiawangsa dan dihadiri oleh 250 peserta, merupakan inisiatif untuk memperkemaskan semula jentera parti di peringkat bahagian secara menyeluruh dan seterusnya merakyatkan Umno.

"Sebagai Ketua Umno Lembah Pantai, saya juga mahu menimba pengalaman yang dimiliki oleh Datuk Seri Zulhasnan dalam aspek menyusun strategi jentera pilihan raya.

Malah saya juga kagum dengan semangat yang dimilikinya walaupun tidak bergelar menteri lagi tetapi masih unggul untuk memperkukuhkan perjuangan Umno di Setiawangsa," kata Raja Nong Chik.

Zulhasnan pula berkata Umno Setiawangsa akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan. "Penganjuran program retreat ini bukan untuk syok sendiri. Kita kena merancang dengan lebih tajam lagi kalau nak berjaya.

Program ini adalah susulan dari retreat Umno Malaysia untuk ketua-ketua bahagian yang diadakan di Janda Baik tahun lepas.

Malah ini merupakan langkah untuk menjuarai rakyat sepertimana yang telah disarankan oleh presiden parti," kata Zulhasnan.

Katanya program seperti itu boleh dijadikan platform terbaik untuk mendengar suara dan bisikan hati ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi.

"Seperti mana yang kita sedia maklum, landskap politik Kuala Lumpur sudah berubah selepas PRU ke-12.

Kini Umno dan BN Wilayah Persekutuan perlu memperkemaskini semula jentera parti bukan sahaja untuk memenangi kerusi yang kalah tetapi perlu juga memenangi hati warga kota Kuala Lumpur," katanya.

Pengerusi Parti Progresif Penduduk Wilayah Persekutuan Datuk A. Chandrakumanan. berkata pemukiman itu merupakan satu permulaan yang menarik bukan sahaja untuk Umno tetapi untuk BN di Kuala Lumpur.

"Saya yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dengan gandingan Datuk Raja Nong Chik dan pengalaman Datuk Seri Zulhasnan Rafique sebelum ini dapat membantu antara satu sama lain demi menawan semula Kuala Lumpur," katanya. Chandrakumanan berkata lebih banyak program perlu dirancang bagi mendekati rakyat ala "turpa" (turun padang) seperti diperkenalkan oleh Zulhasnan pada tahun 1999 ketika menjadi Anggota Parlimen Wangsa Maju.

BN WP serta parti komponennya perlu juga mengutamakan program pendaftaran pengundi baru di semua kawasan parlimen di Kuala Lumpur, terumatanya pengundi muda," katanya.

Perangkaan terkini menunjukkan peratusan paling tinggi mereka yang tidak mendaftar ialah di Wilayah Persekutuan Putrajaya (50.5 peratus) disusuli Wilayah Persekutuan Labuan (35.3 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (33.7 peratus).

Pemerhati politik berpendapat jika pemimpin BN di WP bekerja keras sebagai satu pasukan ke arah memperbaiki sistem penyampaian kepada rakyat di samping melipatganda usaha untuk mendaftar pengundi baru, tidak mustahil WP Kuala Lumpur akan kembali dikuasai BN. - BERNAMA

Artikel Lain