suria

Dua Remaja Lemas Di Tasik Dekat Jasin

JASIN: Satu lagi kes mati lemas semasa musim cuti sekolah berlaku yang kali ini membabitkan seorang pelajar dan rakannya ketika mereka terjun ke dalam sebuah tasik di Chincin dekat sini semalam.

Mangsa dikenali sebagai M. Suria Thevan, 15, pelajar Sekolah Menengah Sri Ledang, Tangkak, Johor dan rakannya K. Sharvin, 15, yang tidak lagi bersekolah dan berasal dari Seremban.

"Kedua-duanya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jasin kira-kira 6 petang setelah tidak sedarkan diri ketika dibawa keluar dari tasik," kata Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Che Suza Che Hitam.

"Ketika anggota rombongan lain bersiap-siap untuk pulang, dua remaja ini dilaporkan telah terjun ke dalam tasik itu.

"Orang ramai yang melihat mereka menghadapi masalah untuk berenang telah menyelamatkan mangsa sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin," katanya.

Mangsa menyertai rombongan seramai 46 orang dari Pekan Tangkak yang datang dengan sebuah bas untuk berkelah di kawasan rekreasi milik persendirian itu.

Kawasan tersebut berupa bekas lombong yang turut mengadakan aktiviti berkayak. Che Suza berkata mayat kedua-duanya telah dituntut oleh keluarga masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain