suria

Dua Anggota Rela Dan Wanita Thailand Hadapi Tuduhan Miliki Dadah

KUALA TERENGGANU: Dua anggota Rela serta seorang wanita warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana dituduh memiliki dadah bernilai RM200,000.

Hassan Harun, 36, dan sepupunya Rosli Latif, 40, serta Yothaka Yakoh, 28, yang merupakan isteri Hassan, didakwa memiliki 136 botol mengandungi dadah seberat 612 gram dalam sebuah kereta di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai, di sini pada 12.30 tengah hari 4 mac lepas.

Majistret Mohd Yusoff Yunus kemudian menetapkan Hassan dan Rosli ditempatkan di Penjara Marang dan Yothaka di Pengkalan Chepa, Kelantan, sementara menunggu hasil laporan kimia berhubung kandungan dalam semua botol tersebut.

Beliau menetapkan 28 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain