suria

Banduan Bebas Tuduhan Bunuh Kerana Tidak Waras

KUANTAN: Seorang banduan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan membunuh rakan banduan yang berkongsi selnya di Penjara Penor di sini, hampir tujuh tahun lalu, setelah didapati tidak waras.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya bagaimanapun memerintahkan bekas pengusaha kantin, Mat Zaid Muhamad, 45, ditahan di hospital sakit jiwa sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Mariana dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan tidak dapat mencabar kenyataan saksi keenam, Dr Badiah Yahya dari Hospital Permai, Johor, yang mengesahkan tertuduh menghidap penyakit psikotik dikenali sebagai gangguan dilusi (Delusional Disorder) iaitu sejenis gangguan pemikiran dan tingkah laku.

Katanya, mahkamah berpendapat tertuduh berada dalam keadaan tidak waras dan tidak mengetahui akibat daripada perbuatannya itu.

Mat Zaid didakwa dengan niat membunuh sehingga menyebabkan kematian Solehuddin Darus, 43, di bilik tahanan Blok D2, Bilik Nombor 7, Penjara Penor, kira-kira pukul 6.40 pagi, 13 Oktober 2003.

"Tertuduh dibebaskan daripada tuduhan membunuh sepertimana diperuntukkan di dalam Seksyen 348 (1) Kanun Acara Jenayah apabila seorang itu didapati tidak waras ketika melakukan kesalahan membunuh," katanya.

Tertuduh ketika itu ditahan di penjara itu selepas didakwa membunuh isteri keduanya pada tahun sama. Seramai 18 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azizah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azmi Kasani. - BERNAMA

Artikel Lain