suria

Tuntutan Bekas Isteri Hattan Disebut Semula 17 Mei

PETALING JAYA: Mahkamah Syariah di sini hari ini menetapkan sebutan semula kes prosiding tuntutan edah dan mutaah bekas isteri penyanyi Hattan, atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabuddin, 46, pada 17 Mei ini.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan daripada Peguam defenden, Mohd Roshdan Sujak berikutan anak guamnya tidak dapat menghadirkan diri.

Hattan yang tidak hadir semasa sebutan kes itu hanya memberikan sijil cuti sakit yang disampaikan oleh peguamnya kepada hakim.

Penangguhan tarikh tersebut adalah kerana untuk mendengar semula pembelaan defenden terhadap syarat dan terma yang telah dihantar oleh pihak plaintif.

Peguam yang mewakili Arianie juga tidak dapat menghadirkan diri kerana sarat mengandung.

Manakala di luar mahkamah, Arianie, 39, kelihatan kecewa berikutan sikap Hattan yang sambil lewa itu telah menjejaskan kariernya.

"Dia asyik menjejaskan kerjaya saya, sehingga saya telah diisytihar muflis. Semasa kami masih suami isteri, kami pernah membeli kenderaan di atas nama saya. Kenderaan tersebut digunakan oleh dia, dan Sehingga ke hari ini Hattan tidak membayar ansuran bulanan tersebut.

"Saya bukan mahu menuntut mutaah dan edah itu untuk berbelanja," ujar Arianie.

Sementara itu, ketika menemui peguam defenden, Roshdan Sujak di luar mahkamah memberitahu pihaknya akan memfailkan penyata pindaan berkenaan tuntutan daripada pihak plaintif selepas melihat kembali syarat dan terma yang perlu dipenuhi berdasarkan insolvensi.

Hattan dan Arianie mendirikan rumah tangga pada 17 Disember 1996.

Hattan melafazkan lafaz cerai talak satu terhadap Arianie di kediaman mereka di No. 29, Tropicana Golf and Country Resort pada 31 Disember 2004.

Pada 4 Januari 2005, Arianie memfailkan permohonan pengesahan perceraian yang dibuat oleh bekas suaminya itu.

Pada 10 Mac 2005, Hattan secara rasmi melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Hasil perkongsian hidup selama lapan tahun, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Adam Eiman, 12.

Arianie mendakwa dia tidak pernah menerima edah dan mutaah daripada bekas suaminya sejak mereka bercerai.

Artikel Lain