suria

Sekeluarga Tujuh Beranak Hilang Tempat Tinggal

SIK: Sekeluarga tujuh beranak dari Kampung Namek Tua di sini hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam satu kebakaran awal pagi ini.

Ketika kebakaran berlaku semua anggota keluarga itu berada di Tanah Merah, Kelantan, kerana menziarahi anggota keluarga mereka yang sakit.

Fisol Abd Rahman, 41, berkata, mereka sekeluarga ke Kelantan dua hari lepas dan hanya mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas seorang anak jirannya menelefon beliau memberitahu mengenainya pagi ini.

"Saya tergamam dan hanya mampu bertanya bagaimana rumah kami. Anak jiran saya beritahu rumah kami musnah sama sekali," katanya kepada pemberita semasa ditemui tidak lama selepas pulang dan tiba pukul 12.30 tengah hari ini.

Beliau berkata, yang turut musnah dalam kebakaran itu ialah dua motosikal, 10 basikal, 400 jam hiasan termasuk jam dinding yang disimpan sejak lima tahun lalu, pakaian dan buku sekolah anak-anaknya.

Isterinya, Aminah Ali, 42, berkata, dia merasa tidak tenteram pada malam kejadian dan berita kebakaran rumah mereka diketahui pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Mohd Tajuddin Abdullah yang melawat tempat kejadian menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban Fisol yang bekerja sendiri.

Katanya, beliau akan memohon kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) membina sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berharga RM33,000 untuk keluarga itu.

Sementara itu, jiran keluarga berkenaan, Saiful Hafiz Halim, 47, berkata, dia menyedari kejadian itu ketika api sudah marak dan menelefon bomba serta meminta jiran dan penduduk kampung memadamkan api menanti Bomba tiba.

"Api terlalu marak menyebabkan kami gagal menyelamatkan sebarang harta benda keluarga itu," katanya.

Difahamkan jentera Bomba menghadapi masalah untuk memasuki kawasan Kampung Namek Tua kerana masalah jalan yang sempit. Kerugian dianggarkan RM100,000. - BERNAMA

Artikel Lain