suria

Polis Sabah Tahan 2 Anggota Sindiket Palsu Kad Kredit

KOTA KINABALU: Dua lelaki dipercayai anggota sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa, ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah, Supritendan Soh Hock Sing berkata, polis merampas 37 kad kredit palsu selepas menahan kedua-dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun itu pada pukul 11.30 pagi.

"Had pengeluaran bagi setiap kad kredit itu adalah antara RM13,000 hingga RM15,000 dan kad palsu itu dipercayai untuk pasaran asing kerana kad berkenaan tidak mempunyai cip keselamatan berteknologi tinggi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya mendapat maklumat awam dan memerhatikan tingkah laku suspek dari Pulau Pinang dan Perak itu yang menunggu penerbangan ke Hong Kong sebelum menahan mereka.

"Kedua-dua supek ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu terbabit dalam sindiket itu. - BERNAMA

Artikel Lain