suria

Pesawat Mendarat Cemas Dalam Laut Milik HM Aerospace

LANGKAWI: Pesawat ringan yang melakukan pendaratan cemas di perairan berhampiran Mes Pegawai Polis Pasir Hitam, Ayer Hangat, di sini pagi tadi, disahkan milik HM Aerospace Sdn Bhd.

Pengetua Sekolah Penerbangan HM Aerospace, Brigedier Jeneral (B) Datuk Ranjit Singh Gill mengesahkan pesawat ringan Diamond (DA40) itu berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Langkawi untuk melakukan latihan di kawasan utara pulau berkenaan.

Beliau berkata, juruterbang pesawat itu telah menghubungi sekolah berkenaan sebelum membuat pendaratan kecemasan di kawasan laut berhampiran pantai Pasir Hitam kerana dipercayai mengalami kerosakan enjin.

"Mereka sepatutnya mendarat di pantai Tanjung Rhu tapi hasrat mereka tidak sampai dan terpaksa mendarat dalam laut, tapi mereka tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti juruterbang dan pelatih berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, juruterbang dan pelatih yang menaiki pesawat ringan berkenaan untuk sesi latihan terselamat selepas melakukan pendaratan cemas kira-kira 100 meter dari pantai.

Sementara itu, salah seorang nelayan yang menyelamatkan mangsa, Adnan Said, 57, berkata, beliau dan rakan-rakan menyedari ada kecemasan apabila terdengar orang meminta tolong memberitahu ada kapal terbang di dalam laut.

"Saya bersama tiga rakan kemudiannya menaiki sebuah bot menuju ke tempat kapal terbang itu dan berjaya menyelamatkan dua orang terbabit," katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Pasir Hitam di sini.

Katanya, ketika sampai ke kawasan pendaratan cemas itu, pesawat berkenaan kelihatan tenggelam sikit demi sikit, manakala jurulatih dan pelatih telah keluar dari pesawat dan kedua-duanya memakai jaket keselamatan.

Ulong Ahmad, 42, pula berkata, sebelum mendarat, pesawat itu dilihat terbang rendah, tetapi bunyi enjinnya tidak kedengaran. -BERNAMA

Artikel Lain