suria

Permohonan Orang Asli Diberi Pertimbangan: Shafie

KUALA LUMPUR: Permohonan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk mendapatkan peruntukan berjumlah RM800 juta bagi pembangunan masyarakat Orang Asli di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) akan mendapat pertimbangan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, perkara tersebut sentiasa diberi perhatian tetapi perlu dilihat secara menyeluruh.

"Sememangnya kita sudah bagi peruntukan. Pada tahun lalu kita bagi peruntukan hampir RM400 juta, di samping di bawah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Nasional) kita juga akan tambah. Maknanya lebih daripada itu sebenarnya perhatian telah diberikan kepada masyarakat orang Asli," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas majlis perasmian persidangan penggal ketiga Parlimen ke-12, di sini hari ini. JHEOA telah memohon peruntukan untuk melaksanakan pelbagai projek yang dirancang bagi meningkatkan kemajuan masyarakat Orang Asli di seluruh negara terutama dalam bidang pendidikan dan kemudahan asas.

Shafie berkata, tiada negara lain yang dilihat memberi pembelaan kepada Orang Asli, tetapi Malaysia turut memiliki sebuah hospital khas untuk kegunaan Orang Asli, yang ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membela nasib golongan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan turut mensasarkan sekurang-kurangnya lima anak-anak Orang Asli dapat dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan bermula tahun ini, sebagai langkah untuk memajukan Orang Asli dalam aspek pendidikan.

Mengulas mengenai titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan persidangan Dewan Rakyat, yang mahukan pembangunan di Sabah dan Sarawak dipercepatkan, beliau berkata ia berupa penekanan agar tiada kelewatan dalam perlaksanaan projek-projek yang telah dirancang di kedua-dua negeri.

Beliau berkata, beliau telah bertemu dengan pihak terlibat termasuk pemaju untuk memastikan projek-projek dijayakan.

Beliau yakin usaha membangunkan luar bandar terutamanya di dua negeri tersebut akan dapat dipercepatkan dengan bantuan pelbagai pihak dan didasarkan kepada pencapaian serta proses penambahbaikan prasarana di peringkat kementerian.

Shafie turut gembira kerana hampir keseluruhan peruntukan yang telah diberi tahun lalu dapat digunakan untuk melaksanakan projek yang dirancang. - BERNAMA

Artikel Lain