suria

Masalah Talian Telekomunikasi Jejas Sistem Laporan Polis Di Sarawak

MIRI: Masalah infrastruktur telekomunikasi di Sarawak merupakan kekangan utama keberkesanan Sistem Laporan Polis secara talian (PRS) di negeri itu, kata Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Mohmad Salleh hari ini.

Beliau berkata, penyaluran maklumat menerusi sistem itu sering kali terganggu disebabkan talian telekomunikasi yang tidak stabil.

"Faktor ini jugalah yang menyebabkan PRS tidak dapat diperluaskan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang terletak di kawasan luar bandar Sarawak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan PRS di IPK Miri, di sini.

Mengulas lanjut, Mohmad berkata, jika infrastruktur telekomunikasi itu dimantapkan PRS adalah sistem terbaik dalam meningkatkan kecekapan pasukan polis negeri.

"Selain masalah infrastruktur telekomunikasi yang dihadapi ini kita tidak mempunyai masalah lain menggunakan PRS ini. Ianya banyak membantu meningkatkan kecekapan kita," katanya.

Beliau berkata, sistem itu akan diperluaskan ke IPK Bintulu dan Sibu pada tahun ini.

PRS yang diperkenalkan di IPK Kuching pada 2007 adalah sistem berasaskan teknologi web yang merangkumi proses penerimaan laporan polis, pembukaan kertas siasatan, kertas pendakwaan dan proses penyediaan laporan berkala secara elektronik.

Menerusi sistem itu proses penyemakan semua laporan polis dan kertas siasatan dapat dlakukan secara talian pada kadar segera dan telus. - BERNAMA

Artikel Lain