suria

Konstabel Mengaku Tidak Bersalah Tembak Bakal Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang konstabel polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin berhubung pertuduhan menembak bakal isterinya.

T. Ravindran, 30, didakwa menembak G. Prema, 24, menggunakan sepucuk revolver .38 Smith & Wesson yang boleh mengakibatkan kematian mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok D-10-09, Program Perumahan Rakyat Kerinchi, Pantai Dalam, Brickfields, 9.40 malam pada 2 Mac lepas.

Ravindran menghadapi tuduhan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin tetapi Ravindran, yang tidak diwakili peguam, memohon kepada mahkamah agar jumlah jaminan itu dikurangkan kerana dia perlu menyara ibu bapa dan adik beradiknya.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di balai polis berdekatan seminggu sekali.

Mohamad Sekeri menetapkan 15 April ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain