suria

Kelindan Lori Dihadap Ke Mahkamah Atas Tuduhan Bunuh Kanak-Kanak

PETALING JAYA: Beberapa hari selepas seorang pemandu teksi didakwa membunuh kanak-kanak Syafiah Humairah Sahari, hari ini, seorang kelindan lori pula didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan yang sama ke atas kanak-kanak berusia 18 bulan, K. Harresvaran.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada M. Rajamorgan, 33, yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Didakwa melakukan kesalahan itu terhadap bayi malang itu di sebuah taman permainan kanak-kanak Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya, antara 9.40 malam hingga 10.10 malam, pada 4 Mac lalu.

Rajamorgan dilihat mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya dalam bahasa Tamil dan Melayu di hadapan Majistret Ho Kwong Chin.

Tertuduh, yang diwakili peguam bela Amer Hamzah Arshad, tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 10.15 pagi dari Balai Polis Petaling Jaya dan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Ibu dan abang tertuduh hadir di mahkamah sejak 8.30 pagi, dan turut kelihatan bapa mangsa, S. Karigalan, 42 dan ibunya K. Thilagavathy, 23.

Terdahulu itu, Amer Hamzah memohon kepada mahkamah agar pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah menyegerakan kes itu untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi.

"Pihak pembelaan memohon kepada mahkamah agar pihak pendakwaan mempercepatkan agar tidak berlaku prejudis ke atas anak guam saya dan ini juga dapat memberikan keadilan kepadanya," kata Amer Hamzah.

Beliau berhujah anak guamnya itu tidak perlu direman dalam tempoh yang lama iaitu tidak melebihi lapan hari yang diperuntukkan dan sekiranya pihak pendakwaan ingin melakukan siasatan lanjut, mereka perlu memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh itu.

Ho kemudian menetapkan Jumaat ini untuk sebutan semula kes itu dan beliau juga memutuskan mahkamah tidak boleh memerintahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed agar tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai kes ini.

Ho membuat keputusan itu selepas peguam Amer Hamzah memohon mahkamah agar menghalang Arjunaidi dari mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung kes itu atas alasan berlaku percanggahan maklumat dari segi laporan media terhadap kes ini.

Zhafran Rahim pula membantah mengenai proses penyegeraan kes itu atas alasan pihak pendakwaan perlu mempunyai tempoh masa yang sesuai supaya tidak berlaku kecacatan mengenai laporan berkaitan kes itu.

Bagaimanapun, Ho menolak secara lisan bantahan yang dikemukakan Zhafran Rahim itu sebaliknya mengarahkan pihak pendakwaan membawa dokumen mengenai laporan perubatan, kimia dan bedah siasatan mangsa pada Jumaat ini.

Dilaporkan, Haresvarran meninggal dunia pada malam kejadian dipercayai akibat didera menyebabkan bahagian tulang rusuknya retak selain hatinya pecah serta terdapat banyak kesan lebam pada badan mangsa.

Minggu lepas, pemandu teksi Mohd Fazli Azri Jamil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru atas tuduhan membunuh Syafiah Humairah berusia tiga tahun.

Syafiah Humairah dilaporkan meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek. - BERNAMA

Artikel Lain