suria

Kastam Rampas Lebih 5.8 Juta Batang Rokok Seludup

PADANG BESAR: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perlis merampas 5,897,800 batang rokok putih dan rokok kretek dengan nilai sebelum cukai dianggarkan RM554,332, yang ditemui dalam sebuah premis tanpa penghuni di Jalan Juru, Butterworth, Pulau Pinang, Khamis lepas.

Pengarahnya, Mohd Isa Endot berkata, berdasarkan maklumat awam, pihaknya menyerbu premis itu pada kira-kira pukul 6.10 petang dan menemui 29,841 karton rokok-rokok berkenaan yang dimuatkan dalam 603 kotak.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa memecahkan mangga pintu untuk memasuki premis berkenaan, dan hasil pemeriksaan ke atas kotak-kotak itu pihaknya menemui rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang tidak mempunyai tanda amaran oleh kerajaan Malaysia.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini beliau berkata kesemua rokok dengan jenama seperti Gold Rush, Surya, Fisher, Dusk, Canyon, Reno, Vess, Walton, Gin, Keris, dan Junesita itu dibawa ke Padang Besar untuk siasatan.

Mohd Isa berkata, nilai duti import dan cukai jualan bagi kesemua rokok itu dianggarkan RM1,226,254 dan kesemua rokok itu dipercayai diseludup dari luar untuk dipasarkan di utara negara.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan pemilik premis itu. - BERNAMA

Artikel Lain