suria

Hanya Mahkamah Syariah Boleh Tentukan Status Perkahwinan: Hakim Syarie

KOTA BHARU: Hanya Mahkamah Syariah yang boleh menentukan sama ada sah atau sebaliknya status perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dikatakan berlaku secara paksa dengan lelaki berusia 41 tahun di negeri ini, kata Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad.

Beliau berkata, mereka yang terbabit dengan kes itu, seperti bapa kanak-kanak tersebut dan lelaki berkenaan perlu didakwa di mahkamah terlebih dahulu sebelum status perkahwinan tersebut dapat ditentukan.

"Andaian yang dibuat oleh orang ramai mengenai kes ini tidak boleh dijadikan asas kukuh dalam menentukan status perkahwinan pasangan terbabit sebelum kes disebut di mahkamah," katanya.

"Ini perlu bagi mengelakkan timbul kekeliruan masyarakat Islam berhubung soal perkahwinan kerana ia menyentuh hukum agama Islam, tambahnya.

Daud yang merupakan salah seorang anggota panel penggubal Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan (EKINK) 1983 diminta mengulas mengenai satu kes perkahwinan yang melibatkan seorang kanak-kanak bawah umur dari Kuala Krai, Kelantan dengan seorang lelaki berusia 41 tahun baru-baru ini, yang kemudian turut dilarikan oleh lelaki berkenaan ke Kepong, Selangor.

Beliau berkata, mereka yang terbabit dengan perkahwinan tersebut boleh dihadapkan ke Mahkamah Syariah atas tuduhan bersubahat melakukan perkahwinan tanpa kebenaran mengikut EKINK yang mewajibkan setiap pasangan yang ingin berkahwin mesti cukup umur iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi wanita.

"Bagaimanapun, mengikut enakmen ini had umur itu boleh dikecualikan sekiranya mendapat kebenaran bertulis daripada Kadi berdasarkan alasan munasabah, seperti kematangan daripada kesuburan fizikal, mental dan sebagainya," katanya.

Daud berkata, syarat yang dikenakan mengikut enakmen itu bertujuan untuk memastikan pasangan yang berkahwin kekal dan tidak berlaku perceraian akibat pasangan terbabit tidak cukup matang untuk mendirikan rumah tangga.

"Mereka yang melakukan kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 8 enakmen ini dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-dua sekali," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain