suria

Cubaan Seludup Keluar Gula Dan Minyak Masak Disekat

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 1,007 kilogram gula pasir dan 403 kilogram minyak masak ke negara jiran.

Pegawai APMM Left.(Maritim) Herman Peter berkata barangan bersubsidi dalam bentuk paket seberat satu kilogram setiap satu dirampas dari feri penumpang dan sebuah bot dalam Ops Sejahtera yang dijalankan selama tiga hari yang berakhir semalam.

Katanya dalam operasi pertama pada 12 Mac, pihaknya merampas 43 paket minyak masak dan 34 paket gula dari dua buah feri penumpang manakala dalam operasi kedua semalam sebanyak 925 paket gula, 275 minyak masak dan 10 paket tepung dirampas dari lima buah feri yang diperiksa.

Dalam operasi jam 4 petang tadi pula, 48 paket gula dan 85 paket lagi minyak masak dirampas dari sebuah bot nelayan yang dalam perjalanan dari Tawau ke negara jiran ketika diperiksa di Tanjung Saima.

Empat orang rakyat asing yang berumur antara 12 hingga 32 tahun di atas bot berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan.

"Bagaimanapun, tiada tangkapan di dalam semua feri yang diperiksa kerana tiada seorangpun yang mengaku barangan kawalan berkenaan milik mereka," kata Herman kepada pemberita di sini hari ini. BERNAMA

Artikel Lain