suria

Bekas Hakim Harap Orang Asli Dilantik Sebagai Senator

KANGAR: Seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan hari ini berharap kerajaan melantik individu di kalangan Orang Asli sebagai anggota Dewan Negara bagi menyuarakan hasrat dan keperluan golongan minoriti berkenaan.

Datuk Mohd Noor Abdullah berkata, cadangan itu berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai lonjakan bantuan kewangan serta pelan strategik masa panjang untuk memajukan kaum Orang Asli.

Bagi merealisasikan hasrat itu, seorang anggota Dewan Negara perlu dilantik di kalangan kaum Orang Asli bagi membawa hasrat kaum itu ke arah kehidupan yang lebih baik, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Noor juga berharap kementerian tertentu dapat meminjamkan para pegawai kanan perkhidmatan negeri Sabah dan Sarawak ke jabatan persekutuan tertentu bagi mendedahkan mereka dengan pengalaman baru yang boleh diterjemahkan untuk melaksanakan pembangunan di negeri masing-masing.

Beliau percaya langkah melantik anggota Dewan Negara dan meminjamkan pegawai perkhidmatan awam negeri Sabah dan Sarawak ke jabatan-jabatan persekutuan akan memantapkan lagi gagasan 1Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain