suria

Rumah Kedai Musnah Dalam Kebakaran RM350,000 Di Manjoi

IPOH: Sebuah rumah dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian RM350,000 di Jalan Pemimpim, Manjoi di sini awal pagi ini.

Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mat Zairul Mat Said berkata kejadian berlaku kira kira jam 5.18 pagi tadi membabitkan lima orang dari satu keluarga dan seorang pemilik kedai berjaya menyelamatkan diri.

Seramai 12 anggota bomba dan tiga buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan daripada orang awam dan mengambil masa selama dua jam untuk memadamkan kebakaran, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mat Zairul berkata punca kejadian belum diketahui dan sedang disiasat.

Sementara itu seorang penghuni rumah terbabit, Halim Shohod, 39, berkata kebakaran disedari kira kira jam 3.30 pagi apabila dikejutkan isterinya yang bangun untuk membuat susu anak apabila terhidu bau hangit dari ruang tamu rumah.

Mereka sekeluarga bergegas keluar dari rumah selepas melihat api begitu cepat marak dan gagal menyelamatkan harta benda, manakala sebuah kereta dan sebuah motorsikal milik pekedai itu turut musnah dalam kejadian berkenaan.

Anggota Parlimen Tambun yang juga Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah turut melawat mangsa kebakaran di tempat kejadian. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain