suria

Rosnah Sokong Cuti Bersalin 90 Hari

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyokong permintaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang mahukan kerajaan menambah bilangan hari cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan akan membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memastikan saranan tersebut dapat direalisasikan.

"Memang wujud kekangan daripada pihak majikan jika perkara ini direalisasikan tetapi mereka (majikan) perlu lihat perkara ini dari sudut positif.

"Ini kerana jika tempoh cuti ini dipanjangkan, mereka sebenarnya menggalakkan para ibu menyusu sendiri bayi mereka sekaligus dapat mengurangkan risiko bayi sakit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Amal "Say Yes To Breastfeeding" di sini malam tadi.

Selain itu, beliau berkata perkara tersebut turut memberi kelebihan kepada majikan apabila tempoh cuti bersalin selama 90 hari itu mampu mengembalikan keyakinan pekerja mereka untuk meninggalkan bayi masing-masing di rumah dan kembali bekerja dengan lebih efisien.

"Tetapi para ibu juga perlu sedar tempoh tiga bulan tersebut bukan tempoh untuk mereka 'berbulan madu' sebaliknya gunakan ia untuk membina hubungan yang lebih rapat dengan bayi mereka," katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam mengumumkan cuti bersalin kekal 60 hari setelah mendapati mereka yang bersalin merasakan tempoh tersebut adalah mencukupi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain