suria

PM Rai Pengantin 1Malaysia

KLANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi meraikan empat pasangan pengantin dalam satu majlis persandingan serentak yang bertemakan 1Malaysia yang turut dihadiri kira-kira 2,000 jemputan.

Majlis itu yang dihadiri jemputan pelbagai kaum berlangsung di perkarangan rumah Naib Ketua Umno bahagian Kapar, Md Ghazali Md Amin di Perumahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Batu 4, Jalan Kapar.

Pengantin terdiri daripada dua pasang pengantin Melayu, sepasang pengantin Cina dan sepasang pengantin India.

Pasangan pengantin Melayu adalah anak kepada Md Ghazali sendiri iaitu, Adlee, 30, bersama pasangannya, Nursalina Mohd Isa, 31, dan pasangan Norazrina, 21, dan Mohd Ezad Ezwan Mohd Taib, 27.

Pasangan lain ialah Khoo Choon Wai, 26, dan Yap Siew Yoke, 22; M. Kejenthiran, 25, dan N. Subashini, 23.

Pengantin bersanding di tiga pelamin khas yang dihias mengikut ciri-ciri kebudayaan Melayu, Cina dan India dengan diiringi dengan paluan kompang Jawa, gendang Cina dan India.

Najib selaku tetamu kehormat diberi penghormatan menepung tawar dan merenjis air mawar kepada pasangan Adlee dan Nursalina, Norazrina dan Mohd Ezad serta Kejenthiran dan Subashini.

Sementara pasangan Khoo dan Yap pula menghidangkan teh kepada Najib mengikut adat tradisi Cina di mana pasangan pengantin akan menghidangkan teh kepada kaum keluarga mereka semasa majlis perkahwinan.

Perdana Menteri juga berpeluang makan bersama di dalam majlis makan beradab dan memotong kek bersama para pasangan pengantin.

Ketua Bahagian MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai semasa berucap di majlis itu berkata majlis tersebut membuktkan gagasan 1Malaysia boleh mencapai matlamatnya.

Ketua MIC Kapar, T.Ganesan berkata menerusi majlis tersebut masyarakat berbilang dapat mengenali adat resam kaum lain.

Anggota Dewan Undangan Negeri Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata semangat 1Malaysia berjaya ditunjukkan oleh para penduduk di mana mereka telah bergotong royong selama seminggu bagi menjayakan majlis berkenaan.

Yang turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan para pemimpin parti komponen Barisan Nasional. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain