suria

Pemilihan MCA Berjalan Seperti Dijadualkan Pada 28 Mac

KUALA PILAH: Pemilihan MCA akan berjalan seperti yang dijadualkan pada 28 Mac ini, kata Naib Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Kita memang mengharapkan dengan pemilihan ini, MCA akan dapat menyelesaikan masalah dalamannya dan menjadi lebih kuat dan membantu Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan ditemui selepas melawat Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini. Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zailan Datuk Adnan.

Liow berkata banyak dasar-dasar kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang dan akan dilaksanakan.

"Oleh itu, banyak input perlu disampaikan oleh MCA kepada kerajaan dan kita perlu membantu untuk mencapai hasrat dan matlamat kerajaan demi kebaikan dan kepentingan rakyat.

"Matlamat kita melalui pemilihan ini, kita berharap dapat memilih pasukan pemimpin MCA yang lebih bersatu padu, berwibawa dan dapat membawa perubahan dan kekuatan kepada parti dan ini seterusnya dapat membantu BN," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain