suria

Najib Sasar Capai Pertumbuhan Ekonomi Tidak Kurang 6 Peratus Tahun Ini

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi tidak kurang daripada 6 peratus bagi tahun ini.

Perdana Menteri berkata beliau akan berusaha sedaya upaya bagi mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang paling tinggi bagi negara.

"Kita telah pun merasai kesan kemelesetan ekonomi tahun lepas. Bagaimanapun, pada suku terakhir, kita berjaya mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus.

"Saya dimaklumkan oleh para pegawai Perbendaharaan bahawa Bank Dunia berkemungkinan menyemak semula unjuran pertumbuhannya bagi Malaysia tahun ini. Mereka berpendapat kita sebenarnya dapat mencapai pertumbuhan 5.6 peratus bagi tahun ini," kata Najib pada sesi dialog bersama rakan Internet beliau di Seri Perdana, di sini semalam.

Kira-kira 300 rakan Internet beliau menghadiri majlis itu yang turut disertai oleh isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anak mereka, Nooryana Najwa dan Nor Ashman Razak.

Najib berkata beberapa langkah dan strategi akan dilaksanakan bagi memastikan pertumbuhan positif dapat dicapai, termasuk mengenal pasti beberapa sektor daya saing yang berpotensi.

"Sebagai contoh, pelancongan merupakan penyumbang utama hasil negara. Tahun lepas 23 juta pelancong mengunjungi negara ini, tahun ini pula kita boleh menjangkakan kedatangan 24 - 25 juta pengunjung.

"Kami akan meninjau sumber baru pertumbuhan untuk negara. Misalnya, kami boleh menyerlahkan kreativiti hebat warga Malaysia dalam ICT," katanya.

Beliau berkata kerajaan mahu lebih ramai rakyat Malaysia kreatif dalam ICT, seperti kemampuan negara untuk menghasilkan kartun sendiri.

Mengenai ketelusan pemberian tender kerajaan untuk mana-mana pihak melaksanakan projek pembangunan, beliau berkata satu laman web khas akan dilancarkan tidak lama lagi.

Beliau berkata melalui langkah itu, nama mereka yang berjaya dalam pembidaan akan diumumkan menerusi laman web berkenaan, yang juga merupakan antara usaha untuk mengurangkan gejala rasuah.

Najib turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk membantu golongan berpendapatan rendah dalam sektor swasta melalui penetapan kadar gaji minimum.

Beliau berkata kerajaan kini di peringkat perbincangan dengan sektor swasta bagi mencapai keputusan yang adil dan pada masa sama, meneruskan langkah untuk mengurangkan jumlah pekerja asing.

Perdana Menteri berkata nasib pekerja berpendapatan rendah akan dibela kerana kerajaan mahu memastikan pekerja sektor awam dan swasta mampu mendapat pendapatan tinggi bagi menjamin masa depan mereka serta dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Sementara itu, Najib berkata sebagai seorang yang sibuk, beliau perlu bijak membahagikan masa antara minatnya suka membaca dan menjalankan kerja-kerja pentadbiran.

Najib berkata beliau gemar membaca buku-buku biografi membabitkan para pemimpin, bersifat pemikiran lateral dan buku motivasi.

Katanya pada masa yang sama, beliau turut akan meluangkan masa untuk bersenam untuk menjaga kesihatan dan menghilangkan tekanan kerana badan yang tidak sihat dan minda yang tidak jelas akan mempengaruhi keputusan yang akan dibuat.

Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah seperti yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

Katanya pelbagai langkah telah diambil seperti yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan trend jenayah didapati sedang menurun.

"Sekiranya usaha-usaha ini diteruskan, saya yakin dan percaya kita akan lihat kadar jenayah akan semakin rendah dan pengurangannya akan ketara lagi. Hanya beri sedikit masa sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menyatakan bahawa beliau adalah peminat nombor satu pasukan bola sepak England Manchester United. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain