suria

Najib Bersantai Dengan Warga UKM, Dapat Reaksi Positif

BANGI: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meluangkan masa beramah mesra dalam satu lawatan secara tidak formal ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Perdana Menteri, yang tiba di foyer Bangunan Canselori universiti itu pada 12.40 tengah hari, meluangkan masa hampir 45 minit beramah mesra dengan hampir 200 orang ahli akademik, pegawai tadbir, kakitangan dan pelajar.

Dalam ucapan ringkasnya Najib berkata : "Sebenarnya kedatangan saya hari ini berlainan seperti biasa (kerana) ia bukan lawatan rasmi atau formal tetapi lebih bersifat mesra warga universiti.

"Lawatan ini supaya saya berpeluang berinteraksi dengan ahli akademik dan para pelajar kerana saya tahu bahawa ahli akademik dan para pelajar jarang sekali dapat peluang berinteraksi di luar kampus."

Najib berkata beliau juga tidak mahu ada meja khas, kerusi khas, permaidani merah atau pun bunga manggar sebaliknya ingin bersantai dengan para pelajar sambil menikmati hidangan tengah hari di tempat biasa pelajar menjamu selera.

Perdana Menteri kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid UKM, disusuli dengan sesi bertemu dan beramah mesra bersama para pelajar sambil menikmati hidangan tengah hari secara santai di Teres Eko Niaga UKM.

Najib sebelum itu turut mengunjungi beberapa gerai yang terdapat di situ dan membeli hidangan tengah hari beliau iaitu nasi ayam serta air minuman campuran jambu batu dan strawberi. Beliau kemudian menikmati hidangan yang dibelinya itu sambil bersembang dengan para pelajar selama hampir sejam.

Mustakim Murad, pelajar dari Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan, berkata beliau merasa amat terharu dan teruja serta tekejut dengan kehadiran Perdana Menteri.

"Dalam kesibukan menjalankan tugas, beliau masih boleh meluangkan masa dengan kami. Secara tidak langsung ia menunjukkan Perdana Menteri menyokong kami dan ini membuatkan kami pula akan menyokong beliau," katanya.

Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi, Siti Hajar Ishak, berpendapat lawatan seumpama itu membuatkan pelajar merasa amat bangga kerana pendekatan mendekati pelajar itu sesuatu yang amat bijak kerana golongan muda inilah yang akan mewarisi negara pada masa depan.

"Saya berharap perkara seumpama ini akan diteruskan dan diperbanyakkan lagi kerana ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menyuarakan hasrat dan permasalahan kami," katanya

Pendapat itu dikongsi oleh Naib Presiden II Persatuan Mahasiswa UKM N.Harikrishnan yang berharap usaha murni Perdana Menteri itu dapat diteruskan.

"Misalnya semalam kami dapat menyuarakan sendiri pendapat kami, apatah lagi beliau mesra melayani kami," katanya.

Anggota exco persatuan itu, Chew Oan Hau, berkata kehadiran Perdana Menteri menunjukkan beliau pemimpin yang mesra rakyat.

Lawatan Najib ke UKM semalam merupakan sebahagian daripada siri lawatannya untuk berinteraksi secara tidak formal dengan warga universiti. Sebelum ini beliau telah mengadakan lawatan yang sama ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain