suria

Jangan Terpedaya Dakyah Dan Tuduhan Palsu Di Blog

KUCHING: Rakyat di negeri Sarawak diminta berhati-hati agar tidak terpedaya dengan dakyah dan tuduhan palsu daripada golongan tertentu yang menggunakan media elektronik seperti laman blog sebagai saluran untuk memburuk-burukkan imej kerajaan.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Negeri Sylvester Entri Muran berkata masyarakat kini lebih tertumpu kepada media elektronik seperti pembacaan blog berikutan perkembangan teknologi media massa yang begitu pantas.

"Kalau dahulu kita hanya mengharapkan bahan bacaan daripada suratkhabar dan majalah, kini (dengan adanya laman blog), kita khuatir ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan media tersebut sebagai saluran untuk memburukkan imej kerajaan, " kata Entri ketika merasmikan Program Sepakat Bestari Peringkat Daerah Baram, di Dataran Marudi, Marudi.

Beliau yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah memuji usaha Jabatan Penerangan Sarawak bagi menubuhkan Pusat Khidmat Rakyat, yang bertujuan khusus sebagai pusat sehenti dalam pencarian maklumat serta kegiatan Komuniti Bestari yang berfungsi sebagai orang tengah antara kerajaan dengan rakyat dalam membantu menyampaikan dasar-dasar kerajaan, yang lebih berkesan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Abdullah Morad berkata kerjasama empat buah Komuniti Bestari di daerah Baram, iaitu Komuniti Bestari Kampung Pemindahan, Kampung Narum, Rumah Randie Sungai Brit dan Pekan Long Lama menggambarkan semangat 1Malaysia yang tulen.

Beliau berkata pemahaman rakyat kepada gagasan 1Malaysia amat penting kerana kerajaan tidak mahu rakyat keliru dan mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah kosong pihak yang tidak bertanggungjawab. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain